Pejabat Daerah Dungun telah mengenal pasti dan menghantar senarai mangsa banjir di seluruh daerah tersebut kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk proses pengagihan dana bantuan banjir.

Pegawai Daerahnya Datuk Mohd Yasim Awang berkata senarai jumlah keluarga mangsa banjir tersebut dihantar kepada MKN bagi membolehkan mangsa banjir terlibat mendapatkan bantuan kewangan sebanyak RM500 seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Kita telah kenal pasti bilangan mangsa banjir yang mana jumlah mangsa yang terlibat adalah lebih daripada 11,000 dan melibatkan 3,663 keluarga dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Besi, Sura, Rantau Abang serta Paka.

[FOTO]: SUASANA PASCA BANJIR DI PANTAI TIMUR


"Wang bantuan tersebut akan dibahagikan secara berperingkat dan diberikan kepada ketua isi rumah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Yasim berkata DUN Bukit Besi merupakan DUN yang paling teruk terjejas melibatkan hampir 3,000 penduduk dari 1,593 keluarga di 23 buah kampung di Hulu Dungun.

[GALERI FOTO]: BANJIR DARI LENSA MEDIA SOSIAL


"Bagaimanapun, sebahagian bantuan seperti barangan keperluan makanan serta pakaian telah kita agihkan kepada mangsa banjir di kawasan yang terjejas teruk.

"Memang tidak dinafikan sepanjang banjir ini pelbagai pihak menghulurkan bantuan dari segi barangan dan bantuan kerja-kerja pembersihan pasca banjir, saya sangat berterima kasih kepada semua pihak kerajaan, swasta, orang perseorangan dan sukarelawan yang telah turun padang," katanya.

Kawasan di Hulu Dungun yang terjejas teruk termasuk Kampung Pasir Raja, Kampung Minda serta Kampung Shukor.