Karya-karya seni di Malaysia wajar dikumpul dengan meluas dan disimpan oleh institusi berkaitan supaya ia dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata ini kerana seni yang menjadi ukuran ketamadunan negara dan refleksi kepada pemikiran masyarakat adalah satu khazanah negara yang perlu dijaga dengan baik.

“Perkara yang perlu dibangkitkan adalah, apakah yang perlu dilakukan supaya institusi kesenian dalam negara berupaya untuk mengumpul koleksi karya seni supaya ia dapat dinikmati oleh anak-anak kita?

“Sememangnya tidak salah untuk dikumpulkan di negara luar, tetapi mungkin kita perlu cari satu titik temu agar kita tidak hilang khazanah-khazanah negara.

“Pada pengamatan saya, pada waktu ini, tidak ramai lagi rakyat Malaysia memahami keperluan untuk mengumpul karya-karya seni ini, namun kita perlu usahakan supaya karya ini ditonjolkan, dipamerkan dan dimiliki di negara kita,” kata Fahmi kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Liku-liku di Balai Seni Negara, pada Khamis.

Jelas Fahmi, ini merupakan antara komitmen perjuangan yang akan diketengahkan dalam membawa suara penggiat seni pada sidang parlimen akan datang.

Selain itu, Fahmi turut juga mahu mencadangkan supaya industri perhotelan memainkan peranan aktif dalam membantu penggiat seni supaya dapat mempamerkan hasil mereka.

“Mungkin kita perlu dasar yang membolehkan pengusaha hotel memperolehi dan membeli karya-karya seni.

“Kita perlu mencari satu ‘win-win solution’ bagi memastikan bukan sahaja industri perhotelan dan industri pelancongan menerima manfaat daripada hasil karya seni, tetapi pelukis tempatan dalam menjual karya mereka pada harga yang berpatutan kepada hotel-hotel ini,” katanya.

Tambahnya, ini merupakan perkara yang boleh diberi perhatian oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dalam memartabatkan industri seni.