Keghairahan netizen mensensasikan istilah ‘kanda’ dan ‘dinda’ yang digunakan dalam warkah dari Cardoba oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, menenggelamkan isi kandungan sebenar surat berkenaan.

Mujahid berkata, menerusi surat itu beliau melahirkan kebimbangan penyokong gerakan reformasi ekoran keputusan bekas Naib Presiden PKR itu meletakkan jawatannya dalam PKR namun tidak menyangka surat itu menjadi sensasi apabila istilah ‘kanda dan dinda’ digambarkan dari sudut romantis sedangkan ia adalah surat yang jujur dari seorang yang lsenior kepada seorang yang lebih junior.

Katanya, hubungan kekeluargaan yang akrab dengan keluarga Nurul Izzah antara sebab beliau mengutuskan surat menggunakan bahasa Melayu klasik yang indah dalam menggambarkan hubungan antara yang lebih berusia dengan yang muda.

"Mereka sibuk 'kanda', 'adinda' walhal surat itu punya panjang,dia tidak tengok kandungan, tidak tengok isi.

"Bagi saya sebenarnya tidak pelik, di Parlimen kenal antara ahli Parlimen banyak pantun, ahli Parlimen guna bahasa klasik, saya bukan baru, kena tanya, dialah (Izzah), kalau ada pun saya tidak akan beritahu," katanya selepas Majlis Pelancaran Program ‘Rahmah’ di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini pada Sabtu.

BACA: Akhirnya Nurul Izzah buka mulut, beri respons kepada "warkah 'kekanda' Mujahid"

Namun begitu Mujahid berkata, keterujaan netizen mensensasikan istilah 'kanda' dan 'dinda' sehingga dilihat seolah-olah negatif hanya merendahkan nilai sastera Melayu dalam kalangan masyarakat.

"Adalah tidak baik, sebab ia satu nilai sastera tinggi yang bagi mana-mana bagi ahli politik surat terbuka adalah sesuatu yang normal, ia satu bentuk ekspresi, tidak semestinya semua serius, gambaran jenaka," tambahnya.

Namun dari sudut positif, beliau beranggapan netizen perlu berterima kasih kepadanya kerana warkahnya itu secara tidak langsung mempopularkan istilah sastera Melayu 'kanda' dan 'dinda' yang kini digunakan secara meluas.

Selasa lalu, Dr Mujahid menulis surat terbuka kepada Nurul Izzah supaya memikirkan semula keputusannya yang meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Dr Mujahid menulis surat berkenaan menerusi media sosial Facebook, ketika beliau dalam perjalanan dari bandar bersejarah Cordova ke Madrid.