Seorang rakyat Malaysia disahkan dijangkiti Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) selepas mengerjakan umrah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki Melayu berusia 55 tahun berasal dari Selangor itu tiba di Malaysia pada 23 Disember lalu.

"Pada keesokan harinya, beliau mengalami gejala demam, batuk, lemah badan, lelah dan sakit kaki. Pesakit seterusnya mendapatkan rawatan dari klinik berhampiran rumahnya dan beliau menerima rawatan sebagai kes demam.

"Pada lewat malam 28 Disember, beliau datang ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan dimasukkan ke wad HTAR untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Mengambil kira sejarah perjalanannya yang baru kembali dari menunaikan umrah, ujian saringan MERS-CoV dijalankan oleh Hospital Sungai Buloh pada 30 Disember dan ujian pengesahan seterusnya dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 31 Disember mendapati positif sindrom berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada ketika ini, pesakit terbabit berada dalam keadaan stabil dan telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan lanjut.

Siasatan awal turut mendapati pesakit juga telah meminum susu unta mentah dan bersentuhan dengan unta ketika melawat ladang haiwan berkenaan ketika di Tanah Suci.

Kementerian Kesihatan juga sedang menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan, termasuk pengesanan serta pemantauan ke atas kontak rapat pesakit seperti ahli keluarga, jemaah umrah dalam kumpulan sama, anggota kesihatan di fasiliti kesihatan yang merawat serta kontak rapat dalam pesawat yang dinaiki pesakit.

Malah, amalan pencegahan dan kawalan infeksi dalam kalangan anggota kesihatan turut dipertingkatkan di semua peringkat selain pemantauan terhadap status kesihatan anggota kesihatan yang terbabit dalam mengendalikan kes berkaitan.

Beliau menjelaskan, merujuk kepada laporan daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga kini punca dan cara jangkitan sebenar MERS-CoV masih belum dikenal pasti.