Tutup

Seorang daripada empat rakyat Malaysia ada akses kandungan cetak rompak digital

Seorang daripada empat rakyat Malaysia ada akses kandungan cetak rompak digital
Persatuan Industry Video Asia (AVIA) merumuskan kegiatan menonton kandungan cetak rompak atas talian pada masa kini bukan lagi tabiat negatif. - Gambar Astro AWANI
PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya seorang daripada empat rakyat Malaysia yang terhubung dengan internet mempunyai peranti yang membolehkan mereka mengakses kandungan cetak rompak di alam maya.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Industry Video Asia (AVIA), Louis Boswell berkata, kegiatan menonton kandungan cetak rompak atas talian pada masa kini bukan lagi tabiat negatif.

Sebetulnya, tegas Boswell, pelakuan menonton kandungan cetak rompak di atas talian adalah sama seperti mencuri.

“Bezanya (antara mencuri di kedai dan menstrim video cetak rompak) adalah tiada penjaga kedai dan kamera keselamatan dan pencuri pula salah anggap, menyangka ia adalah jenayah dengan tiada mangsa," kata Boswell.
Penegasan itu dibuat Boswell ketika berucap di Sidang Kemuncak Anti Cetak Rompak Kandungan Digital di Putrajaya pada Khamis

Menurut Boswell, dalam usaha menghentikan kandungan cetak rompak digital, apa yang perlu dilakukan adalah memastikan organisasi di belakang kandungan haram ini dihentikan menerusi strategi termasuk menyekat Alamat Protokol Internet atau IP.
Tambah beliau, organisasi ini merupakan jenayah terancang dengan skala besar dan sebahagian daripada empayar yang turut terlibat dalam kandungan terlarang termasuk pornografi dan jenayah.

Boswell berkata, penguatkuasa tidak seharusnya menahan individu yang mengakses kandungan cetak rompak ini, sebaliknya, mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalurkan kandungan ini di atas talian menerusi sekatan IP.

Kata beliau lagi, jika ini boleh dilakukan untuk kandungan seperti pornografi kanak-kanak serta yang mengancam keselamatan negara, tentunya ia juga boleh digunapakai untuk laman web dengan kandungan cetak rompak.

Sidang Kemuncak Anti Kandungan Cetak Rompak Digital di Putrajaya yang berlangsung pada Khamis turut membincangkan isu risiko kepada anak-anak kecil dan remaja yang mengakses kandungan cetak rompak, kesan negatif kepada industri dan sekatan kepada laman web dengan kandungan cetak rompak digital.