Tiga individu kerugian lebih RM100,000 manakala seorang lagi nyaris ditipu ekoran terpedaya dengan perwatakan baik dan lembut seorang lelaki bergelar 'Datuk'.

Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, lelaki berkenaan dipercayai mengaburi mangsa-mangsa dengan melakukan modus operandinya seperti menawarkan perkhidmatan pengurusan majlis serta menipu resit kuil semata-mata bagi mendapatkan wang daripada orang ramai.

"Lelaki berusia 38 tahun itu turut memperdaya mangsa yang rata-ratanya kaum wanita dengan memujuk dan merayu mereka untuk meminjam sejumlah wang bagi tujuan melancong dan juga tujuan yang lain.

"Disebabkan mempunyai beberapa jawatan dalam pelbagai organisasi badan bukan kerajaan (NGO) yang agak terkenal, ada mangsa yang percaya lalu memberikan sejumlah wang kepada lelaki tersebut," katanya pada sidang media, di sini pada Khamis.

Oh berkata aktiviti penipuan oleh lelaki berkenaan dikesan sejak awal Januari lalu dan dipercayai masih berlarutan sehingga kini ekoran tiada lagi sebarang tangkapan dibuat.

Mangsa, Lina Oon, 44, berkata beliau telah kerugian sebanyak RM100,000 yang merupakan wang simpanan keluarganya manakala adiknya yang berusia 38 tahun pula kehilangan RM20,000.

"Laporan polis sudah dibuat, manakala kami juga telah berusaha ke rumah lelaki itu yang dianggap sebagai adik sendiri, namun gagal dikesan," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan segera supaya orang ramai terutamanya golongan wanita tidak mudah terpedaya dengan kata-kata lelaki berkenaan yang disifatkan sebagai 'lembut gigi dari lidah'.

"Saya juga merayu lelaki berkenaan datang menyerah diri di balai polis berhampiran dan pulangkan wang kesemua mangsa. Bayar ansuran pun tidak mengapa," katanya. -- Bernama