Satu tangkapan rasuah serta 480 tayar celup bernilai lebih RM240,000 berjaya dirampas menerusi Ops Bersepadu Tayar Celup yang dibuat oleh Pasukan Tindakan Khas (PTK) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam serbuan di Bukit Beruntung dan Senawang pada 23 dan 28 Februari lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, operasi ini dibuat dengan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi membanteras kegiatan pembuatan tayar celup yang tidak mengikut piawaian ditetapkan.

"Ini perkara serius kerana berdasarkan maklumat PLUS, terdapat 1,485 kes kemalangan pada 2016 yang berpunca daripada pelanggaran objek dan 41.3 peratus daripada objek tersebut dari jenis serpihan tayar," katanya dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan pada Rabu.

Jelasnya 11 orang ditangkap, dua daripadanya pemilik kilang terbabit manakala sembilan lagi merupakan warga asing yang telah diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut.

"Serbuan pertama di Kawasan Perindustrian Bukit Beruntung berjaya merampas 265 buah tayar celup komersial dengan pelekat SIRIM serta 1,282 pelekat SIRIM MS224-2005 palsu dengan anggaran nilai RM140,000.

"Serbuan kedua di Kawasan Perindustrian Senawang berjaya merampas 215 buah tayar celup komersial dengan pelekat sirim serta 92 keping pelekat SIRIM MS224-2005 palsu dengan anggaran RM107,500.

"Turut ditahan ialah seorang suspek di Senawang yang memberi suapan RM50,000 sebagai dorongan untuk tidak mengenakan tindakan penguatkuasaan ke atas premis berkenaan," jelasnya lagi.

Kesemua tindakan diambil di bawah Seksyen 29 (2) (b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu melanggar Perintah Penandaan Tyar Pneumatik manakala kes rasuah disiasat SPRM di bawah Seksyen 17B Akta SPRM 2009.

Antara agensi terlibat dalam operasi ini Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNKK), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Sirim Berhad.