Seorang lagi anggota polis ditahan bantu siasatan SPRM

Seorang lagi anggota polis ditahan bantu siasatan SPRM
Suspek ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan rasuah disyaki berkaitan aktiviti dadah. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Seorang lagi anggota polis berpangkat koperal direman tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah disyaki berkaitan aktiviti dadah.

Perintah tahanan reman ke atas suspek berumur 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie berikutan permohonan pegawai SPRM Faliq Basirudin.

Penahanan terbaharu dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud pada 7.45 malam semalam itu telah menjadikan seramai 13 individu direman melibatkan 12 tangkapan di Sabah dan seorang di Sibu, Sarawak bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Suspek yang kini bertugas di Bahagian Stor IPD Kota Belud itu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan sama seperti suspek lain iaitu menerima bayaran secara harian, mingguan dan bulanan menerusi akaun bank daripada pihak disyaki terlibat dengan aktiviti berkaitan dadah melibatkan nilai puluhan ribu ringgit sejak 2014 hingga Jun tahun ini.

Suspek berkenaan dipercayai melakukan kesalahan rasuah tersebut ketika dipinjamkan bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Belud.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada Selasa, seramai 12 anggota polis dan seorang pesara polis direman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan masing-masing 11 individu di Sabah dan seorang di Sibu, Sarawak.

-- BERNAMA