Seorang lagi pengidap demam denggi dilaporkan maut di Terengganu hari ini menjadikan dua kematian akibat penyakit itu dalam tempoh sembilan hari pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohamad Omar berkata mangsa kedua ini juga berasal dari lokaliti wabak yang sama mencatat kematian sebelum ini iaitu dari Kampung Panji Alam yang terletak kira-kira dua kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu.

“Mangsa, seorang wanita berumur 49 tahun meninggal dunia di wad biasa Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada pukul 10.20 pagi tadi.

"Beliau dimasukkan ke HSNZ pada Khamis lalu dan semakin pulih setelah menerima rawatan di hospital namun mangsa didapati meninggal dunia pagi tadi akibat renjatan denggi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sabtu lepas, seorang warga emas lelaki berusia 65 tahun menjadi mangsa pertama denggi di Terengganu tahun ini.

Sebanyak 99 kes demam denggi dilaporkan di seluruh Terengganu sejak 1 Jan lalu hingga semalam iaitu peningkatan sebanyak 253.6 peratus berbanding hanya 28 kes demam denggi untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Daripada 99 kes itu, daerah Kuala Terengganu mencatat 76 kes diikuti Dungun (tujuh), Kuala Nerus (lima), Besut (empat), masing-masing tiga kes di Hulu Terengganu dan Kemaman serta satu kes di Marang.

Sehubungan itu, Dr Mohamad mahu orang ramai yang tinggal di sekitar Kampung Panji Alam supaya segera mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes sebelum lebih ramai menjadi mangsa akibat wabak itu.

"Kes denggi di negeri ini, terutama di Kuala Terengganu sangat membimbangkan dan telah berlarutan sejak November lalu.

"Selain gotong-royong yang dianjurkan oleh jabatan kerajaan, orang ramai juga perlu mengambil inisiatif sendiri untuk memastikan persekitaran rumah mereka bebas dari sebarang risiko terkena denggi akibat nyamuk Aedes," katanya.