SEBERANG PERAI:Seorang lagi pegawai di Penjara Seberang Perai, di Jawi, Pulau Pinang disahkan positif COVID-19 semalam.

Pengarahnya Zulkifli Abdul Manah berkata, pegawai wadar itu bertugas di blok baharu yang menjaga sekumpulan banduan yang dijangkiti COVID-19 sebelum ini.

Menurut Zulkifli, wadar lelaki itu bersama seorang lagi pegawai yang positif sebelum ini kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

"Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas dua keluarga pegawai tersebut yang tinggal di kuarters penjara di situ, dan setakat ini keputusan ujian saringan keluarga pegawai pertama disahkan negatif, kami sedang tunggu keputusan keluarga pegawai ke dua," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Zulkifli berkata semua 384 pegawai dan kakitangan di Penjara Seberang Perai itu telah menjalani ujian saringan COVID-19.

BACA: Kluster Penjara Seberang Perai: Seorang pegawai dilaporkan positif COVID-19

Setakat ini hanya dua daripada mereka disahkan positif manakala yang lain akan menjalani ujian saringan kedua dalam masa terdekat.

Zulkifli berkata setakat ini, seramai 70 orang  banduan yang baru dijatuhkan hukuman ditempatkan di situ sejak bulan lalu disahkan positif COVID-19.

Katanya terdapat kira-kira 700 banduan baru di blok tersebut dan semua mereka diasingkan daripada banduan lama bagi memastikan tiada penularan wabak COVID-19 di penjara tersebut dengan separuh daripada mereka telah menjalani ujian saringan COVID-19.

Keadaan mereka yang dijangkiti COVID-19 setakat ini dilaporkan stabil.

"Selain itu, pihak penjara juga telah menyediakan satu blok di situ sebagai wad rawatan untuk banduan yang positif COVID-19 dan satu lagi blok untuk mereka yang telah pulih daripada penyakit tersebut," katanya.

Selain itu, Zulkifli berkata pihaknya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk individu serta pertubuhan bukan kerajaan yang menyalurkan sumbangan kepada kakitangan serta penghuni di situ.

"Kami menerima bantuan daripada pelbagai pihak antaranya pakaian perlindungan peribadi (PPE), pelitup muka, cecair sanitasi, sabun, makanan dan lain-lain lagi," katanya.