Seorang anggota pasukan keselamatan melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai cermin sebuah pasar raya di Pelabuhan Klang selepas bertemu isterinya untuk berbincang berkaitan masalah rumah tangga mereka di premis berkenaan, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Kamarul Zaman Mamat berkata dalam insiden pada 4.45 petang itu, lelaki berusia 45 tahun berkenaan ke pasar raya itu berjumpa isterinya yang berusia 30 tahun.

Lelaki itu tiba-tiba mengeluarkan pistol yang dibekalkan pasukannya dan melepaskan tembakan.

"Dalam kejadian itu, tiada individu yang dilaporkan cedera, termasuk isteri suspek. Beberapa tembakan yang dilepaskan suspek hanya mengenai cermin pasar raya berkenaan," kata Kamarul Zaman ketika dihubungi.

Selepas kejadian suspek terus menyerah diri di Balai Polis Pelabuhan Klang bersama sepucuk pistol jenis Glock dan satu kelopak mengandungi peluru sebelum ditahan untuk siasatan lanjut, kata pegawai polis itu.

Kamarul Zaman berkata polis akan menyiasat punca sebenar kejadian dan akan mendapatkan perintah daripada Mahkamah Majistret bagi menahan reman suspek.

Isteri suspek juga akan dipanggil bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api.