Seorang maut manakala dua lagi masih menerima rawatan akibat dijangkiti demam denggi di Kampung Pelawan B, Langkap, Perak.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ding Lay Ming dalam kenyataan pada Ahad berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak menerima laporan kes pertama disahkan demam denggi pada 15 Julai manakala dua lagi kes dilaporkan Jumaat lepas.

"Satu daripada tiga kes ini telah meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan demam denggi manakala seorang lagi sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan satu kes lagi adalah stabil dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan pihaknya mendapati punca utama kejadian wabak adalah terdapat kadar pembiakan Aedes yang tinggi di lokaliti itu.

Antara tempat pembiakan yang dijumpai di kawasan ini adalah perigi dan kolam terbiar, mangkuk susu getah di kebun getah dan tong-tong susu getah yang ditinggalkan terbiar di kawasan kebun berkenaan.

Sehubungan itu, Dr Ding berkata Jabatan Kesihatan dan PKD Hilir Perak telah melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung penularan wabak berkenaan.

"Antaranya termasuk menjalankan pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan, melakukan aktiviti pengesanan kes secara aktif dan melaksanakan aktiviti 'larvaciding', Semburan Ruang Thermal (SRT) dan Semburan Ultra Low Volume (ULV) di sekitar kawasan wabak serta kampung berhampiran iaitu Kampung Pelawan A.

"Sebanyak 82 rumah diperiksa oleh anggota kesihatan. Tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan di mana lima kompaun dan empat notis pembersihan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 telah dikeluarkan terhadap pemilik premis yang membiak Aedes," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai terutamanya di kawasan yang dijangkiti wabak supaya sentiasa peka dengan kebersihan persekitaran dan segera melakukan aktiviti pembersihan kawasan serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di luar atau di dalam rumah.

"Sekiranya mengalami demam, segeralah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari klinik kesihatan terdekat," katanya.

-- BERNAMA