Seorang lelaki warga Bangladesh maut manakala dua rakan senegaranya hanya separuh sedar selepas dipercayai terhidu gas beracun ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan saluran paip gas di sebuah stesen minyak di Jalan Ipoh-Lumut di sini, pada Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.40 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi, kesemua mangsa yang dianggarkan berusia 30-an telah berjaya dinaikkan oleh orang awam.

"Anggota EMRS (Perkhidmatan Perubatan Kecemasan) bertindak memberi bantuan kecemasan kepada kesemua mangsa, namun seorang daripada mereka tidak memberi respon.

Pasukan perubatan kemudian mengesahkannya meninggal dunia," katanya di sini.

Warga Bangladesh yang maut di lokasi kejadian. - Ihsan JBPM Perak

Kata Mohamad Yunus, dua mangsa yang lain telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan.

"Kita menunggu pasukan Hazmat (Unit Bahan Berbahaya) bagi mengesahkan kandungan gas dalam saluran paip tersebut," tambahnya.

Setakat ini, maklumat lanjut mengenai mangsa masih belum diketahui.