Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini akan melakukan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi selepas seorang stafnya disahkan positif COVID-19.

Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM, menerusi kenyataan di laman sesawang universiti itu, memaklumkan bahawa kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi akan dijalankan mengikut rekod pergerakan sebaik pengesanan kontak diperoleh Bilik Gerakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Johor Bahru.

"Seorang staf UTMJB disahkan positif ujian COVID-19 dari kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling. Beliau sedang dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, UTM menasihati seluruh warganya untuk kekal tenang dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut kenyataan itu, warga UTM juga tidak dibenarkan menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan penularan wabak COVID-19 demi menjaga keharmonian umum.

Semua staf dan pelajar juga diminta sentiasa mematuhi langkah-langkah pencegahan bagi mengelak penularan wabak COVID-19 seperti yang digariskan KKM dan UTM.

"Sekali lagi adalah ditegaskan staf dan pelajar yang telah menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling yang belum membuat saringan agar segera membuat saringan.

"Bagi mereka yang telah membuat saringan di mana-mana fasiliti kesihatan di luar juga perlu melaporkan kepada Pusat Kesihatan Universiti (PKU) bagi tujuan rekod," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bahawa seluruh warga UTM boleh mendapat segala maklumat terkini berkaitan perkembangan COVID-19 di Facebook Komuniti UTM, laman sesawang rasmi COVID-19 UTM: https://www.utm.my/covid19/ atau melalui hotline UTMJB di 010-800 1337, 011-3334 0646 dan UTMKL 016-7962100.

-- BERNAMA