Dianggarkan 50 peratus atau separuh daripada 21,532 orang pekerja hilang pekerjaan di Semenanjung tahun ini datangnya dari Lembah Klang.

Jelas Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran, jumlah tertinggi dicatatkan di Lembah Klang iaitu 5,902 atau 27.4 peratus pekerja dari Selangor dan 4,767 atau 22.1 peratus pekerja dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Ia satu kitaran dan majoriti daripada mereka (pekerja) dari Lembah Klang, antara punca disebabkan oleh perubahan pasaran.

"Industri baru dan banyak lagi. Apa yang lebih penting sekarang ini, bagaimana kami (Kementerian) ingin masyarakat berusia lebih 60 tahun kembali bekerja kerana ada kekurangan dalam pasaran," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Mengikut rekod, negeri kedua tertinggi kehilangan pekerja Johor iaitu 2,536 atau 11.8 peratus diikuti Pulau Pinang 1,328 atau 6.2 peratus pekerja.

Daripada 21,532 orang pekerja yang hilang pekerjaan, sejumlah besar daripada mereka dari tiga kategori profesion teratas iaitu pengurus, profesional dan juruteknik dan profesional bersekutu yang memerlukan kelayakan Diploma dan Ijazah.

Sehingga 7 Disember lalu, seramai 6,292 orang pekerja kembali bekerja dalam pelbagai industri atas bantuan Bahagian Perkhidmatan Tenaga Kerja PERKESO.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) di bangunan Parlimen petang Ahad.