Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines (MAS).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan, perkara itu diserahkan kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan.

“Memang pihak kerajaan terutama Perdana Menteri telah dan sedang melihat beberapa opsyen dengan melihat apa perlu dilaksanakan untuk membantu meningkatkan perkhidmatan dan pencapaian MAS dan setakat ini kerajaan belum membuat apa-apa keputusan. Namun keputusan strategik perlu dimuktamadkan dalam masa yang akan datang,” katanya kepada media di lobi Parlimen.

BACA: "Saya sayang MAS" - Tun Mahathir


Mengulas pihak yang mengemukakan cadangan untuk membeli MAS, Anthony berkata, ia telah diserahkan kepada Perdana Menteri.

Namun katanya, apa yang penting ialah kerajaan mahu melihat masa depan cerah MAS melalui pendekatan yang berkesan dibuat dalam masa terdekat.

“Cadangan itu telah diserah kepada Perdana Menteri. Tiada tempoh masa tetapi saya rasa adalah penting untuk kita membuat keputusan untuk masa depan MAS kerana mereka sedang menghadapi kesukaran dan cabaran. Adalah baik untuk kerajaan membuat keputusan seberapa segera,” ujarnya.


Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa di Dewan Rakyat pada Rabu mengakui beliau sangat menyayangi MAS.

Bagaimanapun, beliau berkata, satu tindakan berkesan perlu diambil dan dilakukan bagi memastikan MAS tidak terus mengalami kerugian.