Orang ramai yang menyimpan hasil karya seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee disaran menyerahkannya kepada Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC).

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Isham Ishak dilaporkan Bernama berkata, ia bagi memastikan khazanah negara tersebut dapat terus dipelihara sebagai koleksi seni dan warisan negara.

"Jika mana-mana ahli keluarga atau orang ramai yang menyimpan hasil karya P. Ramlee dari nenek moyang mereka, kita harap dapat maklumkan kepada kami.

"Kalau mereka simpan sendiri, ia mungkin tidak terjaga," katanya kepada media selepas majlis perasmian program 'Jom Baca Bersama Untuk 10 minit Peringkat Kebangsaan 2019', di sini, hari ini.

"Berikan (karya itu) kepada kami, perpustakan, Jabatan Warisan Negara atau muzium, supaya dapat diperbaiki jika ada kerosakan dan seterusnya dijaga dengan lebih baik," kata Isham.

Pada Isnin, menteri Datuk Mohamaddin Ketapi berkata kementerian menerusi Jabatan Warisan Negara mengisytihar 255 butiran melibatkan pelbagai kategori sebagai Warisan Kebangsaan.

Katanya, 149 daripada jumlah butiran itu adalah hasil karya P. Ramlee termasuk gubahan lagu serta dua trofi yang dimenanginya di Festival Filem Asia Pasifik (APFF).

Trofi itu adalah Anugerah Filem Komedi Terbaik untuk filem 'Madu Tiga' pada 1964 dan Anugerah Seniman Serba Boleh pada 1965.

Sementara itu, kira-kira enam juta peserta menyertai program 'Jom Baca Bersama 10 Minit' yang diadakan serentak di seluruh negara hari ini.

Program tersebut merupakan inisiatif ke arah membentuk masyarakat minat membaca walaupun dalam tempoh singkat 10 minit.

Ia juga merupakan program sokongan semua perpustakan di Malaysia bersama agensi kerajaan dalam usaha meningkatkan budaya membaca di kalangan rakyat negara ini.