Seramai 120 peserta menyertai Program Nostalgia Kembara Merdeka Berkeretapi Tanjung Aru ke Beaufort pada Ahad bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan sambil menjelajah ke kawasan yang boleh dihubungi melalui jalan kereta api.

Program anjuran Jabatan Penerangan Sabah bersama Jabatan Keretapi Negeri Sabah itu mendapat sambutan baik masyarakat setempat yang turut serta menunggu ketibaan kereta api itu di setiap stesen yang dipilih untuk bersama-sama memeriahkan dan merasakan suasana sambutan Bulan Kebangsaan.

Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Yunus Saprin berkata program berkenaan mampu mempromosi perkhidmatan kereta api negeri Sabah yang dahulunya merupakan penghubung utama dan penyumbang ekonomi bagi kampung-kampung sekitar kawasan Beaufort, Membakut, Bongawan, Kimanis, Papar, Kawang dan Kinarut untuk terus ke Kota Kinabalu.

"Kita mahu kongsi dengan orang ramai rakyat Malaysia khususnya di negeri Sabah tentang sejarah yang pernah kita lalui daripada zaman kita belum merdeka sehinggalah kita merdeka dan Nostalgia Kembara Merdeka Berkeretapi adalah sangat unik.

"Beberapa aktiviti yang kita adakan sepanjang program ini termasuk berhenti di beberapa stesen terpilih untuk berjumpa dengan orang ramai dengan mengadakan kuiz dan mengedarkan beberapa risalah berkaitan kemerdekaan," katanya ketika berucap pada majlis penutupan program itu di sini, pada Ahad.

Majlis penutupan program itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun yang turut disertai Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Daud Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, dan ADUN Membakut, Datuk Ariifin Arif.

Sementara itu, Azizah berkata selain memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan menaiki kereta api, program itu secara tidak langsung dapat mempromosikan perkhidmatan kereta api yang dahulunya merupakan penghubung utama dan penyumbang utama ekonomi di Sabah.

"Sejarah penubuhan keretapi di Sabah bermula sejak zaman British North Borneo Chartered Company lagi. Ia ditubuhkan dengan rasminya pada Ogos 1914 dan pada masa itu ia menjadi pengangkutan utama di Sabah," katanya.

-- BERNAMA