Sejumlah 62,153 etnik Rohingya berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) setakat 30 Sept lalu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata daripada jumlah itu, 53,811 adalah pelarian manakala 8,342 adalah pemohon suaka.

"Untuk tempoh yang sama juga, seramai 2,061 etnik Rohingya telah ditempatkan ke negara ketiga oleh UNHCR," katanya menjawab soalan Datuk Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) mengenai langkah kerajaan dalam menangani isu penganiayaan terhadap Rohingya serta statistik terkini pelarian etnik itu di negara ini.

Bagaimanapun Shahidan berkata maklumat taburan etnik itu berdasarkan negeri masih belum diterima daripada suruhanjaya tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha menangani isu Rohingya termasuk membuat gesaan terhadap kerajaan Myanmar berhubung penganiayaan etnik itu dalam forum serantau antarabangsa ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menurut Shahidan, pemegang kad UNHCR bebas bergerak di dalam negara ini, bagaimanapun mereka perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Kepada soalan tambahan Datuk Kamarudin Jaffar (PKR-Tumpat), sama ada kerajaan bercadang mewujudkan mekanisme tersendiri untuk menghitung jumlah pelarian Rohingya di negara ini, Shahidan berkata Kementerian Dalam Negeri sedang dalam langkah membuat 'exchange of letter' dengan pihak UNHCR untuk mendapatkan maklumat bukan sahaja berkaitan Rohingya tetapi juga pelarian lain di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata lokasi khusus pembinaan hospital medan tajaan Malaysia bagi membantu pelarian Rohingya di Bangladesh akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

-- BERNAMA