Seramai 9,363 jemaah haji telah berada di Mekah dan Madinah sehingga Sabtu, kata Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut kenyataan itu seramai 4,653 jemaah haji telah berada di Mekah, manakala 4,710 jemaah haji berada di Madinah.

Kenyataan itu juga memberitahu jumlah itu adalah 31 peratus daripada keseluruhan 30,200 jemaah haji dari Malaysia tahun ini.

Menurut kenyataan itu juga sehingga Sabtu, 22 penerbangan haji telah berlepas dan 20 penerbangan telah tiba sehingga pukul 1 pagi Sabtu waktu tempatan, 6 pagi waktu Malaysia.

Semua penerbangan haji berlepas pada 4 Julai hingga 17 Julai mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Abdul Aziz di Madinah, manakala penerbangan berlepas 18 Julai hingga 5 Ogos mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah.

-- BERNAMA