Tutup

Seramai 97 mangsa di Raub ditempatkan di pusat pemindahan

Seramai 97 mangsa di Raub ditempatkan di pusat pemindahan
Banjir mula melanda Pahang mengakibatkan 97 mangsa daripada 28 keluarga dari empat kampung di daerah Raub mula dipindahkan. - Gambar hiasan
KUANTAN: Banjir mula melanda Pahang apabila 97 mangsa daripada 28 keluarga dari empat kampung di daerah Raub mula dipindahkan ke pusat pemindahan banjir selepas kediaman mereka dinaiki air sejak pagi tadi.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Pahang Zainal Yusoff berkata seorang wanita warga emas berusia 70an menjadi mangsa pertama dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Tok Machang pada pukul 7 pagi tadi.
"Dua pusat lagi yang dibuka ialah Dewan Gali Tengah yang dibuka pada 9.50 pagi dengan menempatkan 75 mangsa daripada 20 keluarga manakala 21 orang daripada tujuh keluarga lagi ditempatkan di Masjid Kuala Temau.

"Kesemua mangsa terbabit dipindahkan selepas kediaman mereka di Kampung Padang Manggis, Masjid Gali, Gali Hilir dan Kuala Temau dinaiki air," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Katanya sebuah lagi pusat pemindahan banjir di Dewan Serbaguna Kampung Ajai juga baru dibuka petang ini, namun jumlah mangsa terlibat yang ditempatkan di pusat pemindahan berkenaan masih belum diketahui.