Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan dua warga Bangladesh yang maut dalam insiden serangan di Dhaka , Jumaat lepas, adalah bekas pelajar Universiti Monash di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya masih belum mengenal pasti sama ada mereka adalah mangsa ataupun anggota kumpulan bersenjata itu.

"Setakat ini, kita tidak dapat sahkan sama ada dia betul-betul terlibat atau hanya mangsa dalam kejadian itu. Polis akan berhubung dengan pihak Bangladesh untuk mendapatkan pengesahan," katanya.

Pada 1 Julai lepas, sekumpulan lelaki bersenjata melakukan serangan di sebuah kafe di ibu negara itu dan menahan beberapa individu sebagai tebusan.

BACA: Kementerian siasat hubungan penyerang di Dhaka dengan universiti tempatan

Selepas rundingan yang dilakukan gagal, pasukan keselamatan Bangladesh kemudian mengempur dan berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya 13 tebusan dan menembak mati enam lelaki yang menyerang Holey Artisan Bakery yang popular dalam kalangan rakyat asing.