Seremban dimasyhur sebagai bandar raya Januari 2019

Seremban dimasyhur sebagai bandar raya Januari 2019
Mohamad memegang logo Majlis Bandaraya Seremban yang dirasmikan pada Majlis Prapelancaran Majlis Bandaraya Seremban di Dataran Nilai malam tadi. --fotoBERNAMA
NILAI: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Jumaat menyempurnakan prapelancaran Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sebagai simbolik penggabungan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

Ia seterusnya bakal dimasyhurkan sebagai bandar raya secara rasmi pada Januari tahun depan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena ulang tahun keputeraannya yang ke-71.

Menurut Mohamad, penggabungan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menjadi sebuah entiti dibuat awal bagi melancarkan usaha penaiktarafan perkhidmatan serta pembangunan di kawasan yang berada di bawah PBT tersebut.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan perkhidmatan kedua-dua majlis ini nampaknya begitu cemerlang dan pungutan hasil serta perkhidmatan untuk kita beri kepuasan kepada pelanggan telah menepati citarasa.
“Saya berharap dengan penggabungan ini pentadbiran akan menjadi lebih cekap dan perkhidmatan kepada pelanggan juga cemerlang kerana MBS adalah impian kita,” kata beliau semasa berucap menyempurnakan majlis tersebut di sini, malam tadi.

Pada majlis tersebut, turut dilancarkan logo MBS yang dipilih menerusi satu pertandingan yang dibuka kepada rakyat negeri itu.

Mohamad berkata, Kabinet sebenarnya sudah menawarkan status bandar raya kepada Seremban pada 2013, namun beliau pada ketika itu merasakan pihaknya masih memerlukan masa untuk memastikan prestasi perkhidmatan awam berada pada tahap membanggakan.

“MBS ini pengisytiharannya bersamaan dengan rancangan kita, iaitu pembangunan 30 Tahun Negeri Sembilan Moden 2015-2045.

“Pada masa saya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mengumumkan kawasan pembangunan wilayah tengah iaitu Malaysia Vision Valley (MVV) yang kita rancang supaya menjadi perbandaran masa hadapan,” katanya.

MVV merupakan pelan pembesaran wilayah Kuala Lumpur yang meliputi sehingga kawasan bawah seliaan MBS dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), merangkumi tanah seluas 153,000 hektar dari sempadan Selangor di Nilai sehingga ke Batu 13 Port Dickson.

Ia juga akan dibangunkan berasaskan teknologi hijau dengan konsep ‘from the mountain to the sea’, malah telah mewartakan lebih 3,000 hektar kawasan hutan di Mantin untuk dijadikan hutan rekreasi serta kira-kira 1,000 hektar lagi untuk dijadikan Central Park Labu.