Hujan lebat ternyata tidak melunturkan semangat lebih 100 penyokong Pakatan Harapan dan Pas yang hadir memberi sokongan kepada calon masing-masing ketika proses penamaan calon, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati penyokong kedua-dua parti tiba di hadapan perkarangan Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, kira-kira pukul 8.30 pagi ini.

Hujan lebat sejak 8.50 pagi menyebabkan semua penyokong bergegas mencari tempat berteduh terdekat iaitu sederet bangunan rumah kedai berhadapan dewan berkenaan dan kembali berkumpul semula di hadapan perkarangan Dewan itu selepas hujan reda.

Hujan yang kembali lebat tidak lama selepas itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat mereka untuk tetap setia memberi sokongan kepada calon parti masing-masing.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca cerah di kawasan berkenaan.

Pada PRK itu, Pakatan Harapan mempertaruhkan bekas anggota Majlis, MBPJ Halimey Abu Bakar sementara Pas diwakili bekas Exco kerajaan negeri yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Selat Klang, Dr Halimah Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 8 Sept sebagai hari pengundian dan 4 Sept untuk pengundian awal.

Kerusi DUN Seri Setia kosong apabila penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Shaharuddin yang mewakili PKR mengalahkan tiga pencabarnya Datuk Yusoff HM Hanif daripada BN, Mohd Ghazali Daud (Pas) dan calon Bebas Dr S.Vignes dengan majoriti 19,372 undi.

-- BERNAMA