KUCHING: Pembukaan sesi persekolahan beberapa daerah di Sarawak ditangguhkan selama dua minggu berkuat kuasa 1 hingga 14 Mac depan.

Ia melibatkan daerah Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah mengambil kira kapasiti sistem kesihatan di kawasan yang terlibat.

Jawatankuasa itu dalam kenyataannya pada Jumaat berkata pihaknya telah mewujudkan satu jawatankuasa di bawah Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR)  bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bagi memastikan sesi persekolahan di seluruh negeri tersebut dapat berjalan dengan lancar dan selamat.

BACA: PKPB di Sarawak dilanjutkan sehingga 15 Mac

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka akan dibuka semula pada 1 Mac ini di seluruh negara.

Malah, amalan norma baharu persekolahan dilaksanakan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) secara dalam talian susulan pandemik COVID-19.