Tutup

Setahun PH: Tadbir urus yang baik asas kukuh bangunkan Malaysia - Wan Azizah

Setahun PH: Tadbir urus yang baik asas kukuh bangunkan Malaysia - Wan Azizah
Dr Wan Azizah berkata beliau tidak akan melibatkan diri secara aktif lagi dalam politik apabila suaminya telah menjadi perdana menteri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah meletakkan asas kukuh menerusi tadbir urus yang baik untuk membawa Malaysia membangun di landasan yang betul.

Beliau berkata setahun mentadbir negara, PH telah berusaha mengisi harapan rakyat yang menukar kerajaan melalui Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.
"Realitinya, kita adalah kerajaan baharu tanpa pengalaman walaupun Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) adalah yang paling berpengalaman dalam dunia. Penting untuk kita (meletakkan) 'good governance' bagi mentadbir Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya serta memenuhi harapan yang rakyat mahu kita laksanakan.

"Ada yang mengatakan kita (PH) mengambil masa terlalu lama tetapi setahun adalah masa yang singkat untuk kita menilai pencapaian, namun kita boleh lihat apakah usaha-usaha yang telah diletak (oleh kerajaan PH)," katanya kepada pemberita dalam temu bual khas sempena setahun pentadbiran kerajaan PH di pejabatnya di bangunan Parlimen, baru-baru ini.
Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menegaskan pelbagai inisiatif baharu dan penambahbaikan program terdahulu dilaksana dan dirancang PH bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat serta mencorak hala tuju negara.

Daripada sudut kementeriannya, antara program diperkenalkan termasuk Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) dengan peruntukan RM45 juta bertujuan menjamin kestabilan kewangan golongan wanita khususnya suri rumah, selain Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak sebagai pangkalan data berpusat menyimpan maklumat pelaku yang disabitkan atas kesalahan terhadap kanak-kanak.

Kementerian itu juga telah meluluskan sebanyak 65 taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di bangunan kerajaan serta berusaha memaksimumkan tenaga kerja dan sumber bagi menambah baik kehidupan golongan sasar.

Wan Azizah berkata kementerian juga memberi fokus meningkatkan kemahiran keibubapaan serta mewujudkan kejiranan yang bebas daripada masalah sosial.

Tambahnya, beliau juga mengimpikan masyarakat Malaysia yang berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan.

"Kita nakkan negara kita maju, berkembang, membangun untuk semua. Saya selalu ingatkan 'equitable distribution of the country's wealth' (pengagihan kekayaan negara yang saksama) apabila kita majukan negara kita, setiap rakyat itu mendapat nikmat, tetapi kena ada sumbanganlah.

"Takkan nak dapat nikmat sahaja, (persoal) kerajaan buat apa, tetapi kita tidak tolong. Kalau asyik kritik tanpa membina, itu tidak baik, kita rakyat Malaysia mesti sama-sama bina negara kita," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai prestasinya sebagai timbalan perdana menteri wanita pertama negara, Wan Azizah menyerahkan kepada rakyat untuk menilai.

Mengakui dirinya mempunyai batasan kemampuan seperti mana-mana manusia lain, Wan Azizah berkata beliau telah mencuba sebaik mungkin bagi melaksanakan tugasnya.

"Saya tahu saya ada batas kemampuan, saya fikir orang lain pun tahu, kadang-kadang anda dapat lihat bahawa saya telah mencuba bersungguh-sungguh. Semua pegawai saya banyak membantu. Dengan rendah hati saya mengakui bahawa ada banyak yang perlu saya pelajari dan saya sanggup untuk belajar," katanya.

Ketika ditanya soalan apakah peranan beliau nanti apabila suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjadi perdana menteri, Wan Azizah berkata beliau tidak akan melibatkan diri secara aktif lagi dalam politik.

"Saya tidak akan terlibat aktif lagi dalam politik. Saya fikir saya cuma mahu menghabiskan penggal saya. Tetapi saya fikir apa yang lebih penting ialah menjadi seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan berdasarkan apa yang telah saya alami dan lalui, saya fikir saya boleh menyumbang, dan saya patut menyumbang, dan saya fikir itulah peranan yang akan saya mainkan," kata beliau.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata beliau akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar, yang juga Anggota Parlimen Port Dickson dan Presiden PKR, seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.

-- BERNAMA