KUALA LUMPUR:Walaupun pernah dikecam dan dipersendakan kerana positif COVID-19 pada awal Oktober lalu, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengambil pendekatan memaafkan semua pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu percaya semua pihak pernah melakukan kesilapan.

"Tak apa. Setiap manusia pernah terkhilaf.


"Moga Allah rahmati kita semua. Barakallahufikum," tulis bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu di akaun Twitter beliau pada Ahad.


Pada awal Oktober ini, negara dikejutkan dengan laporan mengenai beliau positif virus COVID-19.

Pelbagai reaksi diterima susulan berita itu dengan ramai yang mendoakan supaya Ahli Dewan Negara berkenaan cepat sembuh dan diberi kekuatan dalam melawan jangkitan tersebut.


Bagaimanapun ada juga yang mengecam, mempersendakan malah mempersoalkan tindakan Senator itu ke Sabah ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri Ke-15, hujung September lalu.


Zulkifli bagaimanapun tenang dan tidak melatah dengan kecaman-kecaman tersebut, bahkan beliau meminta maaf atas kelemahan dirinya.

"Saya mohon maaf atas sebarang bentuk kelemahan dan kekurangan daripada diri saya,” katanya dalam hantaran di Facebook peribadi selepas disahkan positif COVID-19 pada 5 Oktober lalu.

BACA: "Kepada Allah saya berserah"- Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri