Tutup

Setiap penggal saya isytihar harta, pergilah semak! - Tok Mat

Setiap penggal saya isytihar harta, pergilah semak! - Tok Mat
MOHAMAD: Tidak ada keperluan nak tengok (sekarang). Kalau nak tengok harta saya pergi semak dengan SPRM. -Gambar fail
SEREMBAN: Calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan beliau tidak pernah tertinggal untuk mengisytiharkan harta dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, beliau mencabar pihak berkaitan untuk menyemak namanya dengan suruhanjaya itu.

"Saya setiap penggal isytihar harta dengan SPRM. Pergilah semak dengan mereka.

"Dia tidak tahu setiap tahun saya kena isytihar harta, bukan saja-saja jadi MB. Sekarang saya sudah tidak jadi MB, tak pegang jawatan, tidak perlu isytihar harta,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Rantau pada Selasa.
Malah, hartanya ketika ini semakin susut dan tidak bertambah.

"Saya terpaksa jual rumah, jual kereta dan jual tanah untuk kurangkan komitmen saya kerana tidak ada pendapatan. Cuma pencen dan elaun wakil rakyat sahaja.
"Tidak ada keperluan nak tengok (sekarang). Kalau nak tengok harta saya pergi semak dengan SPRM. Di sana ada dan ada satu salinan di SUK (Setiausaha Kerajaan). Itu memang sudah dilakukan oleh wakil rakyat kita dari dulu lagi,” katanya lagi.

Malah, beliau tidak nampak relevannya pengisytiharan harta dengan PRK ini.

“Apa yang hendak dibuktikan. Namun bagi pihak sana, pengisytiharan harta itu perlu kerana mereka sudah jadi kerajaan.

"Macam Saifuddin Nasution itu perlu. Kalau Dr Streram nak isytihar harta dia tak apalah. Tapi untuk apa. Tiada ada apa-apa keperluan pun,” ujarnya.

Pada malam Isnin, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution membuat perbandingan di antara Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dengan bekas menteri besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pada program ceramah di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) di Bandar Ekar, Rantau itu beliau turut mempersoalkan jumlah harta yang calon BN itu ada.