Setiausaha Agung MIC Datuk G. Kumaar Aamaan akan membuat mogok lapar di Pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Putrajaya pada jam 2 nanti demi menyelamatkan parti politik berasaskan kaum India yang terbesar dan paling tua di negara ini.

Dalam satu kenyataan yang diterima menerusi WhatsApp, antara agenda yang akan diketengahkan adalah ketidakpercayaan pegawai penyiasat ROS dan penyelewengan ROS, usaha menyelamatkan Menara Manickavasangam (Bangunan MIC) dan tanah bersebelahan MIC, menyelamatkan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) yang kepunyaan masyarakat India serta bangunan-bangunan dan tanah-tanah milik MIC.

Agenda akan turut menyentuh tentang bekas Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu sebagai Pemegang Amanah untuk Harta Benda dan bangunan milik MIC diseluruh negara.

Penolakan rayuan Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel pada Selasa oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan semula pemilihan cawangan dilihat berita kurang baik untuk seluruh ahli parti.

Naib Presiden MIC, Datuk M Saravanan berkata, perjumpaan dengan ROS mengesahkan isu itu di mana rayuan Palanivel meminta lebih masa untuk pemilihan parti telah ditolak.

Sebelum ini, Saravanan menggesa Palanivel menyelesaikan kemelut parti dengan mengikut arahan yang diputuskan ROS untuk mengelak parti itu terbubar dengan sendirinya.