Pemakaian seragam berlengan panjang oleh mana-mana pekerja tidak sewajarnya dikenakan tindakan seandainya tidak membawa kesan buruk kepada tugas yang dipertanggungjawabkan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Albakri berkata, tatasusila Islam mengenai penutupan aurat itu seharusnya diberi penghormatan dan dimuliakan oleh semua pihak.

"Dalam isu seperti jururawat yang terpaksa meninggalkan kerjanya atas alasan memakai pakaian tak menutup aurat itu, sepatutnya ia boleh dibawa berunding oleh kedua pihak.

"Perundingan itu harus diadakan dengan penuh harmoni dan hormat menghormati. Kita sebagai rakyat negara harus sentiasa ada prinsip menegakkan syiar dan agama masing-masing.

"Menghormati prinsip amat penting. Secara wajarnya semua harus bijak bezakan pelaksanaaan tugas itu sama ada boleh atau tidak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr. Zulkifli mengulas isu penamatan perkhidmatan seorang jururawat dari sebuah hospital swasta, Naziah Sauni Samat yang disebabkan oleh masalah disiplin dan bukannya sebab tatacara pemakaian.

Isu itu dimaklumkan Pengurus Kewangan dan Pentadbiran Hospital Damai Service (Melawati), Regina Sundram yang menyifatkan jururawat Islam lain yang bertugas di hospital itu tidak mempunyai masalah mematuhi etika pemakaian hospital tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli berharap kedua-dua pihak untuk sama-sama saling hormat-menghormati demi menyelesaikan isu itu dengan penuh kebaikan.

"Saya percaya kedua-dua pihak boleh bertemu titik noktah yang baik," jelasnya.

Sebelum ini, Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menggesa Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan JAKIM mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu berkenaan.