Selangor kini dianggap berdepan krisis kesihatan berikutan peningkatan wabak demam denggi yang menyaksikan 6,686 kes dicatatkan Januari lalu.

Menteri Besar, Azmin Ali berkata kerajaan negeri telah membelanjakan RM32 juta bagi program pencegahan denggi di negeri itu.

“Hasil daripada laporan yang diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menunjukkan daerah Petaling paling kritikal dalam kes-kes yg dilaporkan.

Sebagai contoh statistik pada 31 Januari 2015 sahaja terdapat 6,686 kes di Selangor dimana 48 peratus dilaporkan di daerah Petaling,” Azmin berkata pada majlis pelancaran ‘Operasi Terjah: Tangani Isu Denggi di Shah Alam pada Sabtu.

Tambah Azmin, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menguruskan gerak kerja cegah pembiakan nyamuk aedes di Selangor.


“Untuk memastikan masalah demam denggi dibanteras sama sekali dalam pertemuan KKM dan Jabatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kita bersetuju untuk wujudkan 'task force' di setiap PBT bersama sembilan jabatan utama Jabatan Kerja Raya (JKR). Kementerian Kesihatan juga akan bergerak mencegah pembiakan dan mewujudkan kesedaran bahawa isu ini satu isu yang cukup serius yang harus diambil tanggungjawab bersama,” tambah Azmin.

Antara PBT yang turut terlibat ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.