Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap Amerika Syarikat (AS) akan mengeluarkan Malaysia daripada senarai 'K', iaitu berpotensi untuk penculikan di pantai timur negeri ini.

Beliau berkata Sabah adalah sebuah negeri yang selamat untuk dikunjungi dan pelancong dari China dan Eropah masih berduyun-duyun datang ke negeri ini, termasuk Semporna dan Pulau Sipadan.

"Saya berharap permintaan Kementerian Luar untuk mengeluarkan Malaysia (daripada senarai itu akan diberikan perhatian) dan kawasan itu adalah selamat untuk dikunjungi.

"Keadaan adalah terkawal dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

"Insiden (penculikan) telah berlaku sebelum ini tetapi kami melakukan yang terbaik bagi memastikan bukan sahaja keselamatan diperketatkan malah pemantauan dipertingkatkan di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar di Pusat Pentadbiran Sabah, di sini pada Isnin.

BACA: Indikator 'K': Kementerian Luar akan panggil Duta Amerika Syarikat

Mohd Shafie berharap Amerika Syarikat boleh memberi maklumat mengenai sebarang kemungkinan ancaman di kawasan itu dengan berkongsi maklumat risikan.

Baru-baru ini, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah menandakan "K" ke atas 34 negara yang dikenal pasti mempunyai risiko penculikan dan pengambilan tebusan oleh penjenayah dan pengganas, termasuk Malaysia.

Untuk Malaysia, timur Sabah ditandakan sebagai sebuah wilayah dengan peningkatan risiko penculikan.