Lebih tiga jam menunggu tetapi kelibat bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak juga muncul dalam prosiding pengurusan kes dakwaan mencabul remaja perempuan di Mahkamah Sesyen Kangar pada Jumaat.

Ini merupakan kali ketiga Ahli Parlimen Arau itu gagal hadir ke mahkamah bagi prosiding kes.

Pada prosiding pertuduhan kes pada November 2018, Shahidan gagal hadir dengan alasan berada di luar kawasan manakala pada Januari pula, serahan dokumen kerana dimasukkan ke hospital.

Media difahamkan, barisan peguam Shahidan, ada membuat permohonan mahkamah pada Rabu untuk menangguh prosiding berkenaan, sekali lagi atas faktor kesihatan.

Pengesahan itu turut dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail berkata, kes berkenaan tidak akan berjalan pada Jumaat kerana ditunda pada tarikh yang belum ditetapkan.

Bagaimanapun, sumber mahkamah memberitahu, 4 Mac depan ditetapkan sebagai tarikh prosiding pengurusan kes.

Pada 12 November tahun lalu, Shahidan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dalam sebuah kereta Toyota Harrier di pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, pada pukul 11.30 malam, 20 Oktober lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14 (A), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun serta sebatan.