Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dapat hadir ke Mahkamah Sesyen Kangar bagi prosiding serahan dokumen bagi dakwaan mencabul remaja perempuan yang dihadapinya selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak Isnin.

Peguam Shahidan, Thalia Rohaina Abdul Latiff memaklumkan bahawa anak guamnya terpaksa dimasukkan ke HKL untuk mendapatkan rawatan daripada pakar neurologi.

“Beliau tidak boleh berjalan mulai Ahad dan mengalami kekebasan teruk, jadi semalam juga doktor sudah menahannya di hospital,” kata Thalia.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan tarikh baharu pada 18 Feb depan untuk serahan dokumen yang perlu dilakukan terus kepada tertuduh.

Serahan dokumen akan dibuat mengikut Seksyen 51A kanun prosedur jenayah.

Mahkamah pada prosiding sama juga menetapkan 25 Feb depan untuk pihak tertuduh membuat representasi selepas dokumen tersebut diteliti.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya, Nordin Ismail dan Shahidan, 67 tahun diwakili peguam, Thalia Rohaina, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Zuhair Ahmad Zakuan serta peguam pemerhati keluarga mangsa, Mohd Hapiz Rajali.

Setakat yang dimaklumkan kepada media, ahli keluarga mangsa berhasrat untuk tidak meneruskan kes berkenaan kerana tidak mahu fokus pembelajaran mangsa yang kini menuntut di Tingkatan 4 terganggu.

“Cuma mangsa memang berhasrat sedemikian, itu sahaja yang boleh saya sampaikan,” kata

Pada 21 Oktober 2018, seorang gadis berusia 15 tahun yang difahamkan penyanyi kumpulan busker tajaan Shahidan tampil membuat laporan polis dengan mendakwa dia dicabul Ahli Parlimen Arau itu.

Bagaimanapun laporan tersebut telah ditarik balik dalam tempoh kurang 12 jam atas alasan tidak mahu memanjangkan kes.