Bagi Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, meningkatkan taraf sosio-ekonomi seramai 112,635 penerokanya masih menjadi keutamaan.

Itu seharusnya menjadi panduan dalam semua operasinya, urus niaga korporat dan usaha akan datang bagi pengeluar minyak sawit terbesar dunia itu.

Apabila FELDA ditubuhkan kira-kira 60 tahun yang lalu, matlamatnya ialah membasmi kemiskinan melalui penanaman kelapa sawit dan getah.

FELDA telah berkembang dengan pesat kepada syarikat perniagaan tani global dan menyenaraikan syarikat perladangan ketiga terbesar di dunia mengikut keluasan tanaman, FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV), pada 2012, yang menandakan agensi itu mencapai kejayaan.

Namun, menjadi 'lebih besar', mungkin, tidak semestinya baik untuk FELDA.

Selepas penyenaraian FGV, yang menyaksikan aktiviti perladangan dan pengilangan terletak di bawah entiti yang disenaraikan, FELDA menjaga kepentingan peneroka.

Pada 2013, ia menubuhkan FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), yang menumpukan kepada perniagaan strategik melalui pengambilalihan atau kerjasama.

Dalam tempoh tiga tahun, FIC menjadi perhatian disebabkan usaha niaga yang gagal, perancangan lemah dan pelaksanaan projek yang menyebabkannya mengalami kerugian.

Terdapat juga pelaburan tanpa pulangan.

Sebagai permulaan, Shahrir telah meminta ahli lembaga pengarah FIC untuk meletak jawatan bagi membolehkan langkah penyusunan semula agensi itu dilakukan.

Beliau turut mengumumkan langkah penjualan aset secara agresif untuk membendung defisit dalam aliran tunai FELDA dan membawa kedudukan kewangannya menjadi seimbang.

Beliau mengakui tadbir urus yang lemah membawa kepada 'aset bermasalah' di bawah FIC.

"Sebahagian usaha niaga yang mengalami kerugian adalah di peringkat anak syarikat," katanya.

"Oleh itu, untuk mengatasi masalah tersebut, ia kembali kepada asas," katanya kepada Bernama baru-baru ini, yang bermakna keutamaan perlu diberikan kepada peneroka dan kesejahteraan mereka.

Katanya ini adalah mesej yang beliau sampaikan sejak dilantik jawatan itu pada 6 Jan, 2017.

Antara masalah yang dihadapi oleh peneroka ialah pembayaran lewat daripada FELDA bagi hasil minyak sawit mereka, kegagalan untuk mengutip hasil, perumahan mahal dan penyata kewangan lewat dan tidak lengkap.

Menyedari Felda mempunyai masalah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kebimbangan dan mengumumkan pada September lepas bahawa masalah yang dibangkitkan oleh peneroka akan diselesaikan tidak lama lagi.

"(Oleh itu, jawapannya) menumpukan kembali kepada peneroka. Apabila tumpuan kembali kepada peneroka dan sebaik mereka mempunyai aliran pendapatan yang baik, ekonomi mereka baik dan mereka gembira, yang lain akan berjalan dengan baik," katanya.

Kesejahteraan peneroka termasuk memberi tumpuan kepada ladang mereka dan masalah membabitkan keperluan dan kebajikan generasi kedua yang termasuk perumahan.

Shahrir berjanji untuk kerap turun padang bagi memastikan matlamat asal FELDA semasa ia ditubuhkan pada 1 Julai, 1956, iaitu meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat, dipenuhi.

Selain tanaman, masalah sosial dan kebajikan, pembangunan industri baharu dan aktiviti keusahawanan akan dilihat.

Dilancarkan pada 1957, usaha pembangunan sosial bermula dengan 400 peneroka dan meningkat secara beransur-ansur kepada 112,635 peneroka.

Peneroka FELDA memiliki satu perenam daripada jumlah tanah ladang kelapa sawit di Malaysia.

Sejak 1990, FELDA berhenti mengambil peneroka baharu.

Bagaimanapun, untuk melaksanakan pelan bagi membantu peneroka, FELDA memerlukan aliran pendapatan yang kukuh dan di sini peranan FIC.

Oleh itu, langkah untuk menyusun semula FIC dan aset dan menjual yang tidak memberi pulangan yang memuaskan adalah langkah yang diperlukan bagi FELDA.

Ia perlu menyelaraskan operasinya dan menilai semula portfolio pelaburan.

FELDA yang lebih kukuh adalah apa yang negara ingin lihat kerana ia melambangkan kisah kejayaan Malaysia yang unik.

Tiada negara lain di dunia yang mempunyai skim seperti FELDA, cetusan idea Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Atas sebab ini, FELDA perlu dibawa kembali ke zaman kegemilangannya, dengan kembali kepada asas, iaitu memberi tumpuan semula kepada peneroka.

-- BERNAMA