Shalwati Nor Shal mengaku memukul anak lelaki sulungnya, Ammar, hanya sekali, di rumah kediaman mereka di Spanga.

Ammar dipukul di bahu kerana hilang kawalan dan mengamuk setelah bergaduh dengan Aisyah dan Shalwati memukulnya agar dia bertenang. Ketika itu, Ammar lebih kelihatan terkejut daripada berada dalam kesakitan.

Permulaan hari kelapan perbicaraan hari ini, melihat Shalwati memberi keterangan di hadapan ketua hakim, Mattias Moller di mahkamah daerah Solna di Stockholm.

Perbicaraan membentangkan dakwaan yang dibuat oleh keempat-empat anak Shalwati berdasarkan video testimoni yang dipertontonkan di dalam mahkamah minggu lalu.

Shalwati juga mengaku tegas dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu dalam mendisplinkan anak-anaknya namun, tidak pernah melanggar integriti mereka seperti yang didakwa.

Shalwati menyangkal semua dakwaan Ammar dan berulang kali menerangkan kepada mahkamah bahawa kenyataan di dalam video itu telah dibesar-besarkan anaknya.

Menurut ahli keluarga yang menghadiri perbicaraan itu, Shalwati kelihatan fokus walaupun menitiskan air mata beberapa kali ketika berbicara mengenai anak-anaknya.

Pendakwaraya, Anna Arnell menjalankan tugasnya, menyoal dalam bahasa Sweden dan kemudiannya diterjemahkan kepada bahasa Inggeris.

Azizul Awaluddin Raheem, seorang pegawai Tourism Malaysia dan Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji telah ditahan sejak Disember tahun lalu kerana dipercayai mendera keempat-empat anak mereka yang kini berada dalam jagaan ibu saudara di Kelantan.

Kesemua mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pada awal bulan ini.

Anak sulung pasangan tersebut, Aishah, 14, dan Ammar kini bersekolah di SMK Padang Kala sementara Adam, 11 dan Arif pula menuntut di SK Padang Kala, Kota Bharu.

Perbicaraan tersebut akan bersambung pada 10 Mac nanti.