Si buta keseorangan

Si buta keseorangan
Mohamed Yusof turut menghidap penyakit kencing manis memerlukan rawatan susulan. - Foto Astro AWANI
MACHANG: Hidup sebatang kara!

Gara-gara hilang deria penglihatan Mohamed Yusof yang berasal dari kampung Kweng Hitam, Machang, Kelantan terpaksa hidup berseorangan selepas ditinggal isteri dan anaknya.

Namun itu yang perlu dilalui warga Machang berusia 54 tahun ini selepas ditinggalkan isteri dan anaknya akibat  kecacatan penglihatan yang dialaminya selepas terlibat dalam satu kemalangan di tempat kerja pada tahun 2004.
Mohamed yang turut menghidap penyakit kencing manis memerlukan rawatan susulan di hospital serta suntikan insulin, namun perkara itu tidak dapat dilakukan kerana mata beliau yang buta menyukarkan pergerakannya.

Beliau yang hidup tanpa sebarang pendapatan di sebuah rumah yang tidak terurus meneruskan kelangsungan hidupnya melalui sumbangan makanan daripada jiran dan sanak saudara.

Kehidupan yang dilalui begitu sukar, namun perlu diteruskan walaupun terbatas termasuk tidak dapat memasak, membasuh dan melakukan rutin  harian seperti orang lain yang mempunyai penglihatan.

Sebelum ini, beliau merupakan seorang kakitangan di sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai pendapatan RM50,000 setiap bulan.

Namun begitu, beliau tidak mendapat pampasan daripada syarikatnya walaupun pernah mengupah peguam untuk menuntut pampasan atas kecacatan yang terjadi semasa waktu bekerja.

Sehingga kini, beliau tidak mengetahui mengapa tuntutan pampasannya itu kalah di mahkamah sedangkan sudah berbelas kali naik turun mahkamah.

Namun selepas insiden berkenaan, segalanya menjadi gelap dan hidupnya tidak terurus.
Kalau dahulunya beliau seorang yang mewah nanum kini hidupnya mengharapkan ihsan jiran dan sanak saudara.