Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg belum mahu menamakan siapa bakal mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Ia susulan keputusan penyandangnya Datuk Abdul Wahab Aziz untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan yang disandangnya sejak enam penggal lepas.

"Penggantinya kena tunggu dulu. Memang dia (Abdul Wahab) boleh buat cadangan tapi keputusan akan diumumkan nanti."

"Pilihan raya (PRN Sarawak) masih jauh," kata Abang Johari kepada media di Sebuyau.

Abang Johari turut melahirkan penghargaannya kepada Abdul Wahab atas sumbangannya sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat dan anggota kabinet Kerajaan Negeri Sarawak.

"Saya mengucap terima kasih lah kepada yang berhormat Datuk Wahab yang telah memutuskan untuk mengundur diri.

"Ini budaya kita dalam PBB. Kita tahu bila masanya untuk beri laluan kepada orang muda. Kita harap parti lain akan buat perkara sama," ujarnya

Baca: PRN Sarawak: Abdul Wahab Aziz tidak pertahan DUN Kalaka

Dalam Mesyuarat jawatankuasa Cawangan PBB Kalaka pada Rabu, Abdul Wahab turut menyerahkan surat serah tugas sebagai Ketua Cawangan PBB Kalaka kepada Kaunselor Mohamad Duri yang juga Timbalan Ketua PBB Kalaka sebelum ini.

Mohamad Duri turut dicadang sebagai calon PBB bagi menggantikan Wahab untuk Dun Kalaka.