Walaupun pelbagai pihak telah menggesa Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek untuk meletakkan jawatannya selepas prestasi hambar parti itu dalam pilihan raya umum ke-13, tanda tanya bahawa siapa yang akan menggantikan pemimpin yang dicemari skandal itu masih berlegar di minda mereka.

Berdasarkan tinjauan Astro Awani, di kalangan penganalisis politik mendapati Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai adalah pilihan popular untuk menggalas jawatan itu diikuti oleh ahli jawatankuasa pusat MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Chua Tee Yong yang merupakan anak Chua.

Ada juga yang memilih mantan presiden parti itu Datuk Seri Ong Tee Keat dan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong.

Penganalisis politik Profesor Khoo Kay Peng berkata pilihannya untuk orang yang paling layak mengambil alih kepimpinan parti dari Chua ialah Liow, Wee dan Ong Ka Chuan.

“Mereka ialah orang paling kanan dalam parti dan boleh mengambil alih kepimpinan. Walaubagaimanapun, saya percaya bahawa MCA harus mula membimbing pemimpin muda dan dinamik yang selesa untuk berkhidmat dalam landskap politik semasa yang mencabar.

“Harus ada juga perubahan muka baru dari tahap akar umbi kerana dengan hanya menukar kepimpinan parti tidak mencukupi,” kata beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Strategic Engagement Fui K. Soong pula memilih Liow, Ong Ka Chuan dan Chua Tee Yong untuk menerajui parti itu.

Penganalisis politik Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata Liow, Ong Ka Chuan dan Ong Tee Keat layak mengambil alih parti itu dari Chua.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian yang berpendapat bahawa adalah penting untuk parti itu mendapatkan muka baru untuk menjadi pemimpin parti itu, memilih Liow, Ong Ka Chuan dan Chua Tee Yong sebagai presiden parti seterusnya.

Sementara itu, semua penganalisis politik bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk parti itu bangkit dan berubah, walaupun ia bukanlah satu proses yang mudah.

Khoo berkata MCA perlu mengkaji kedudukannya dalam konteks politik Malaysia.

"Kini, ada permintaan untuk perwakilan politik MCA untuk menjadi lebih lantang bersuara. MCA perlu mengkaji bagaimana ia boleh menyesuaikan diri dengan situasi ini, "katanya.

Sebaliknya, Fui berkata MCA perlu membersihkan senarai keanggotaan parti itu yang mempunyai lebih satu juta ahli, pastikan ia dikemaskini dan melakukan perubahan selepas itu.

Mohd Azizuddin pula berpendapat bahawa perlu ada perbincangan terbuka di kalangan ahli dan kepimpinan parti untuk mencari mekanisme terbaik untuk bergerak ke hadapan untuk kebangkitan semula.

Sivamurugan berkata MCA harus mengkaji mengapa orang Cina menolak MCA pada pilihan raya umum ke 13.

Pada hari Sabtu, Chua berkata beliau akan meletakkan jawatannya di antara bulan hadapan dan Disember kerana bertanggungjawab ke atas prestasi parti yang kurang baik dalam pilihan raya umum ke 13.

Pada pilihanraya ke 13, MCA hanya berjaya meraih tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandingi dan 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi.