Kaedah pengendalian, kawalan dan hukuman bagi kes-kes pedofilia di negara ini perlu diberi tumpuan khusus oleh pihak kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara, termasuk bersedia mengetengahkan daftar nama pesalah kepada umum.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye ketika dihubungi Astro AWANI berkata demikian bagi mengulas mengenai ancaman golongan berkenaan terhadap keselamatan komponen keluarga dan masyarakat terutamanya kanak-kanak di negara ini.

Ini sebagai reaksi lanjutan selepas tersebarnya berita seorang pelajar Malaysia yang kini menjalani hukuman penjara di London kerana tersabit dakwaan menyimpan puluhan ribu gambar dan video pornografi kanak-kanak.

“Pedofilia merupakan jenayah serius dan ia kini berlaku di banyak negaradi dunia ini, terutamanya di negara mundur dan miskin. Kanak-kanak ini menjadi mangsa apabila diperalatkan sindiket-sindiket tertentu,” ujar beliau.

Menurut Lam Thye, pihak KDN dan Jabatan Peguam Negara perlu menggandakan usaha mengenal pasti dan mengetatkan langkah-langkah serta undang-undang untuk menangani isu pedofilia.

“Paling penting adalah menyiapkan daftar nama pesalah pedofilia yang merekodkan sesiapa sahaja yang didapati bersalah melakukan aktiviti tersebut.

“Daftar nama itu juga boleh digunakan oleh pihak berkenaan untuk membuat semakan dan pemantauan jangka panjang bagi pesalah terlibat,” ujar Lam Thye.

Tambah beliau, maklumat yang terkandung dalam daftar nama tersebut perlu boleh diakses orang awam dalam usaha menjaga keselamatan bersama.

“Walau bagaimanapun, perkara ini perlu dibincangkan dengan terperinci dan secepat mungkin oleh pihak yang terlibat,” kata beliau.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim juga telah mengetengahkan usul mengenai langkah menangani isu pedofilia di negara ini dan antara cadangan yang terbabit adalah mengenai daftar nama pesalah pedofilia yang diasingkan daripada senarai pelaku jenayah jenis lain.

“Segalanya kini terpulang kepada tindakan lanjutan pihak Kementerian Dalam Negeri,” ujar Rohani.