Kementerian Pengangkutan sedang menyiasat dakwaan kekurangan buku Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) sehingga menyebabkan lebih 6,000 calon institut pemandu di 20 sekolah memandu di Selangor tidak dapat menduduki ujian pemanduan.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata siasatan awal mendapati bahawa perkara berkenaan mungkin berlaku kerana jumlah calon mengambil ujian berkenaan meningkat sempena cuti persekolahan.

"Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyiasat perkara ini dan menyelesaikanya dengan segera.

"Seperti sedia maklum, setiap kali cuti sekolah ramai calon tidak akan melepaskan peluang untuk mengambil ujian lesen memandu," katanya kepada pemberita selepas Perasmian Karnival Jom Teguh Bersama di sini, pada Ahad.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam berhubung kekurangan buku KPP berkenaan hingga menyebabkan calon tidak dapat menduduki ujian teori bagi mendapatkan lesen 'L'.

Liow berkata JPJ kini sedang membangunkan e-manual KPP bagi menyelesaikan isu kekurangan buku berkenaan pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata setiap pemimpin MCA di semua peringkat khususnya di pusat daerah mengundi (PDM) mempunyai petunjuk prestasi utama bagi memastikan mereka melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan sempurna.

"Semua calon MCA di peringkat kawasan, bahagian atau PDM perlu aktif untuk mencari pengundi dan juga ahli MCA sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," katanya.

Beliau berkata sehingga kini lebih 500,000 pengundi dan ahli MCA di seluruh negara telah dikenal pasti dan usaha keras sedang dilaksanakan secara lebih konsisten bagi menjejaki keseluruhan kira-kira 1.08 juta pengundi dan ahli parti komponen berkenanan.

Sementara itu, beliau berkata rakyat perlu menilai perjuangan sebenar yang dibawa Barisan Nasional (BN) dan parti komponen dalam menjaga kebajikan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat, kestabilan ekonomi serta pembangunan negara yang lebih terancang.

-- BERNAMA