Penyiasatan kejadian perkahwinan kanak-kanak bawah umur di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini masih dijalankan oleh pelbagai agensi yang berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Katanya pihak kerajaan bertindak sebagai penyelaras kepada siasatan itu.

"Adalah tidak bijak untuk menghukum sesuatu isu sebelum semua bukti dikumpulkan dan penyiasatan diselesaikan. Sebagai kerajaan, kami perlu bertindak mengikut undang-undang persekutuan. Inilah yang dimaksudkan dengan kedaulatan undang-undang," kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan berkata kerajaan tegas menentang perkahwinan kanak-kanak dan pihaknya sedang mengambil langkah yang perlu untuk menaikkan usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Beliau berkata pendirian kerajaan berhubung isu tersebut tidak berubah dan tindakan akan diambil berasaskan bukti.

"Walaupun memahami kemarahan yang timbul oleh insiden ini, adalah penting untuk kita tidak membiarkan perasaan peribadi menentukan tindakan yang patut diambil.

"Adalah tidak adil untuk menghukum seseorang melalui media sosial hanya kerana perasaan kita mengenai isu ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata beliau percaya perkara itu akan dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri ke Parlimen kelak.

Ahli Parlimen Segambut itu bagaimanapun tidak memberi butiran bilakah ia akan dibawa ke perhatian Parlimen.

BACA: Kahwin kanak-kanak: Pendidikan, pembangunan sosial kunci penyelesaian

BACA: Kahwin budak bawah umur: Pasangan kontroversi sedia berdepan tindakan

Isu perkahwinan kanak-kanak menjadi perbualan hangat apabila seorang lelaki warga tempatan berumur 41 tahun berkahwin dengan seorang kanak-kanak berumur 11 tahun di Narathiwat, Thailand.

Mahkamah Syariah Gua Musang mendenda lelaki tersebut sebanyak RM1,800 selepas mengaku bersalah berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur tanpa kebenaran mahkamah dan berpoligami tanpa kebenaran dan izin isterinya.

-- BERNAMA