Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan kertas siasatan susulan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata kertas siasatan tersebut telah diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

"Kes Muhammad Adib, kita telah rujuk timbalan pendakwa raya. Pendakwa raya juga tak silap saya telah failkan kes ini ke mahkamah dan inkues akan bermula dalam masa terdekat.

"Saya tidak boleh dedahkan maklumat yang ada, biar mahkamah. Saya yakin mahkamah akan mendengar semua dan berita yang jelas serta fakta yang tepat akan (media) perolehi melalui mahkamah," katanya pada sidang media di Maktab PDRM di sini hari ini.

Pengurusan kes inkues untuk menentukan punca kematian Muhammad Adib yang meninggal dunia 17 Disember lalu ditetapkan pada 18 Januari depan.

Muhammad Adib, 24 tahun dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan parah susulan kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25 di Seafield, USJ pada Nov lalu.

Beliau berada dalam keadaan koma lebih sebulan dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya dan Institut Jantung Negara.

Sebelum ini, Peguam Cara Negara III, Datuk Mohd. Hanafiah Zakaria berkata, tarikh tersebut ditetapkan selepas pihaknya memfailkan dokumen permohonan kes tersebut 27 Disember lalu.