Polis menyifatkan siasatan kes penipuan pelaburan jual beli minyak sawit mentah yang menyebabkan 248 orang mengalami kerugian lebih RM31 juta sebagai sudah selesai.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak polis telah mengenal pasti dua lagi suspek yang tangkapan serta rampasan dijangka dilakukan dalam masa terdekat.

"Kita sudah tangkap suspek utama dan dua lagi dicari. Kita telah kenal pasti siapa yang terlibat. Pada saya kes ini selesai," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Khalid menyaksikan majlis serah terima tugas antara Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani yang bersara wajib sebagai Ketua Polis Pahang dan penggantinya Datuk Rosli Ab Rahman, di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat kajian dan mendapatkan maklumat sahih terlebih dahulu sebelum menyertai sesuatu pelaburan.

"Buat kajian, jangan ada duit terus dilaburkan dan akhirnya ditipu mereka yang tidak bertanggungjawab," kata Khalid.

Pada 20 April lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah mengesahkan penahanan suspek utama kes itu di Pulau Pinang yang berusia lingkungan 50-an yang turut didapati menggunakan gelaran Datuk palsu.

Anaknya yang berusia 35 tahun ditahan beberapa hari sebelum itu. Kedua-dua mereka disyaki terlibat menipu 248 pelabur dengan menjanjikan pulangan sehingga 30 peratus.

Sementara itu Khalid mengesahkan pihak polis telah merakam kenyataan bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Peter Chong berhubung dakwaan dirinya diculik di Thailand baru-baru ini.

"Polis juga masih menunggu laporan daripada pihak polis Thailand sebelum membuat apa-apa syor kepada Jabatan Peguam Negara," katanya.

Kehilangan Chong yang juga pembantu kepada Anggota Parlimen Subang, R.Sivarasa menjadi tular di laman sosial, sebelum beliau didapati tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 April lalu.

Khalid sebelum ini berkata pihak polis mempunyai bukti bahawa Chong menyeberangi masuk ke sempadan Thailand apabila dikesan menaiki bas di Pusat Pemeriksaan Kompleks Imigresen di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 7 April lalu.

-- BERNAMA