Perdana Menteri, Tun Dr Mahatir Mohammad menegaskan bahawa kehadiran pihak polis dalam menyiasat kes berhubung forum "Malaysia and The Rome Statute" bertujuan untuk melindungi negara daripada mereka yang cuba menimbulkan sebarang masalah.

Tambahnya, siasatan yang dilakukan oleh pihak polis tidak bermakna mereka yang disiasat akan didakwa.

"Pihak polis harus ambil tahu namun tidak bermakna siasatan akan menyebabkan mereka akan didakwa. Pihak polis perlu siasat sama ada wujud cubaan untuk menimbulkan sebarang masalah atau tidak," katanya selepas selesai melancarkan Persidangan Tahunan Belia Al Sharq 2019, yang diadakan di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur.

Terdahulu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) telah membuat laporan polis terhadap Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali yang didakwa mengkritik Raja-Raja Melayu semasa forum tersebut.

Laporan polis yang dibuat juga mengaitkan Peguam Negara, Tommy Thomas, Ketua Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Asheeq Ali Sethi Alivi serta beberapa individu lain.

Difahamkan, forum itu diadakan susulan pendedahan rumusan eksekutif yang dibentangkan oelh ahli akademik yang dikatakan digunakan bagi meyakinkan Majlis Raja-Raja Melayu menolak Statut Rom.