Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa lagi saksi dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa membabitkan seorang Ahli Lembaga Pengarah Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Menurut sumber rapat dengan SPRM, sehingga kini seramai tiga saksi penting telah pun direkodkan keterangan mereka.

Jelasnya, saksi-saksi yang akan dipanggil ini merupakan individu yang mempunyai kaitan dan mengetahui mengenai projek penerbitan buku yang dikatakan telah diberi kepada kroni Ahli Lembaga Pengarah berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Katanya, pihaknya terlebih dahulu akan meneliti keterangan saksi serta dokumen-dokumen yang diperoleh daripada PUNB Khamis lepas.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009," katanya.