Pas akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan yang beberapa pemimpin parti itu menerima RM90 juta daripada wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya memberi jaminan akan menyerahkan segala dokumen sekiranya diperlukan, termasuklah penyata akaun-akaun bank Pas Pusat.

"Ia bagi membuktikan dakwaan bahawa Pas menerima RM90 juta daripada 1MDB adalah tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata.

"Pas juga mengalu-alukan dan menggesa mana-mana pihak yang kononnya mempunyai maklumat tentang dakwaan di atas, dengan penuh tanggungjawab dan integriti, tampil untuk menamakan secara terperinci serta memberikan butiran lanjut mereka yang dikatakan menerima wang itu kepada pihak berkuasa supaya siasatan lanjut dapat dibuat," katanya.

BACA: Pas sedia disiasat SPRM - Hadi

BACA: Dakwaan UMNO pindah RM2.5 juta kepada Pas adalah fitnah

Menurut Takiyuddin, Pas yakin SPRM sebagai sebuah entiti yang berintegriti akan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya secara profesional dengan mengamalkan ketelusan, sikap bermaruah serta tanpa rasa takut atau memihak.

Semalam, SPRM menerusi kenyataan media mengesahkan menerima laporan berhubung wang RM90 juta disyaki daripada 1MDB yang didakwa disalurkan ke dalam akaun beberapa pemimpin Pas.

BACA: 'Daripada sumbang kepada PAS, baik bantu UMNO'

BACA: Rakyat Malaysia tuntut kebenaran isu selesai saman Sarawak Report

Menurut kenyataan SPRM, satu laporan polis telah dibuat orang awam dan laporan berkenaan telah dirujuk kepada SPRM.

SPRM akan memulakan siasatan berdasarkan kuasa dan undang-undang yang diperuntukkan kepada suruhanjaya.

Menurut sumber SPRM juga, beberapa individu akan dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan itu.

-- BERNAMA