Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 hari ini mencatat sejarah apabila hanya berlangsung selama dua jam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua ADUN mengikuti tatacara yang ditetapkan Kementerian Kesihatan termasuk memakai topeng penutup hidung dan mulut serta duduk dalam keadaan penjarakan sosial yang selamat.

Beliau berkata, mesyuarat pada kali ini terpaksa dilangsungkan berdasarkan tempoh masa yang ditetapkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang.

"Sidang DUN perlu dilaksanakan sebelum 31 Mei ini, jika tidak ada sidang DUN, ia akan terbubar dengan sendiri," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-14 hari ini.

Pada majlis perasmian berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi sidang video.

Yang hadir Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, perjalanan Sidang DUN ini adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan khususnya dalam aspek mematuhi keperluan penjarakan sosial dan amalan penjagaan kebersihan.

"Saya bersyukur kerana segala urusan dan ketetapan yang dibuat Yang di-Pertua Dewan disambut baik oleh Yang Berhormat sekalian dengan mematuhi sepenuhnya segala apa yang telah ditetapkan sepanjang tempoh persidangan ini berlangsung," katanya.