Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional sekali lagi keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker yang dilihat tidak tepat dan berat sebelah.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia sebagai protes selepas Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diminta keluar dewan oleh Speaker.

“Kami cuma memohon Ahli Parlimen Jelutong untuk menarik balik dan memohon maaf kepada Ahli Parlimen Cameron Highlands, itu sahaja. Kita tidak minta speaker pun untuk meminta maaf, tetapi puncanya adalah Jelutong.

“Ahli Parlimen Kinabatangan telah bangkitkan perkara 36(6), iaitu membuat sangkaan jahat kepada sesama ahli dewan dan sangkaan jahat ini dibuat oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang membawa isu Cameron Highlands ini kepada dewan dan akhirnya Speaker telah keluarkan Ahli Parlimen Cameron Highlands.

“Ia seolah-olah Ahli Parlimen Cameron Highlands gugur haknya sebagai Ahli Parlimen. Dia tidak boleh berbahas selama dua hari, dia dinafikan haknya,” kata Ismail dalam satu sidang media selepas dia bersama-sama ahli parlimen BN bertindak keluar dewan pada petang Isnin.