Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 yang akan berlangsung pada Jumaat akan memberi penekanan kepada isu-isu serantau dan antarabangsa terutama pasca pandemik COVID-19.

Delegasi Malaysia akan diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam persidangan yang berlangsung secara persidangan video itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan persidangan itu akan turut membincangkan langkah pemulihan impak COVID-19 serta pembinaan Komuniti ASEAN dan pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2025.

"Perdana Menteri bersama Pemimpin-pemimpin ASEAN juga akan mengambil bahagian dalam Sesi Khas Pemimpin-pemimpin ASEAN mengenai Pemerkasaan Wanita di Era Digital.

"Beliau juga akan mengadakan tiga pertemuan dengan wakil wakil daripada Perhimpunan iaitu Parlimen ASEAN, Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN," katanya dalam satu sidang media, di sini, pada Khamis.

Hishamuddin turut memaklumkan mesyuarat Menteri Luar ASEAN yang berlangsung semalam menyaksikan delegasi berkongsi cadangan usaha bagi memperbaiki ekonomi dan perdagangan ASEAN pasca COVID-19.

"Usaha ini amat penting memandangkan nasib dan kekuatan ekonomi negara- negara ASEAN amat berkait antara satu sama lain.

"Ini jugalah sebabnya semua negara ASEAN perlu pastikan rantaian bekalan di rantau ini kekal bebas dan terbuka," ujar beliau.